clik clik

Tuesday, November 17, 2009

Siti Tampil Santai


SETIAP kali diva tersohor, Datuk Siti Nurhaliza mengadakan konsert, pasti ramai peminat yang tidak lepaskan peluang untuk menyaksikannya. Walaupun diva ini sering mengadakan konsert, tetapi peminat masih tidak jemu-jemu memberikan sokongan. Buktinya, ‘Konsert Seribu Warna’ yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Sabtu lalu gamat dengan kehadiran ribuan penonton.

Konsert yang diadakan bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-17 Hai-O Marketing Sdn Bhd itu menyaksikan persembahan yang menghiburkan daripada penyanyi nombor satu negara itu. Seleksi lagu kali ini lebih rancak yang menyaksikan Siti turut sama bergoyang bersama penari-penari.

Namun, konsert selama dua jam itu tiada kejutan hebat atau klimaks yang mampu melonjak konsert itu. Tetapi itulah yang diinginkan oleh Siti kerana ketika sidang medianya terdahulu, Siti ada memberitahu konsertnya kali ini lebih santai dan relaks, tidak seperti ‘Konsert Satu’ yang diadakan di Istana Budaya sebelum ini.

Bagaimanapun, eksperimen Siti menggabungkan lagu dendangan Beyonce, “Crazy In Love” dengan lagu “Ku Milikmu” membuatkan stadium bergema dengan sorakan penonton. Selain itu, tiupan seruling daripada Mohar untuk lagu “Bukan Cinta Biasa” juga membuatkan penonton terdiam seketika. Masing-masing terbuai dengan kesyahduan alunan tiupan seruling ditambah dengan kelunakkan suara Siti sendiri.

Bagi mencipta sedikit kelainan, pada pertengahan konsert Siti telah mendendangkan dua buah lagu daripada dua penyanyi lelaki kegemarannya iaitu Anuar Zain dan Faizal Tahir. Untuk Anuar, Siti memilih lagu “Lelaki Ini” manakala untuk Faizal, Siti menyanyikan lagu “Mahakarya Cinta”. Malah, Siti turut memetik gitar pemberian Faizal ketika dia menyampaikan lagu ‘Superman’ itu. Walaupun hanya ‘acting’ tetapi sudah cukup untuk dibanggakan oleh Faizal. Bukan senang, penyanyi baru sepertinya mendapat penghargaan seperti ini.

Mengulas tentang pemilihan lagu Anuar Zain dan Faizal Tahir itu, Siti yang ditemui selepas konsert memberitahu beliau menyanyikan lagu kedua-dua artis itu kerana beliau menghargai bakat yang dimiliki oleh mereka.

“Siti hargai bakat yang dimiliki oleh Anuar dan Faizal. Lagu-lagu mereka juga diminati ramai. Kalau ikutkan memang ramai lagi penyanyi lelaki lain yang bagus-bagus, tetapi Siti perlu buat pilihan. Hendak nyanyikan lagu orang lelaki ini sebenarnya bukan senang juga, Siti perlu sesuaikan dengan ‘key’ Siti,” jelasnya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan konsert itu,, Siti memberitahu secara keseluruhannya dia berpuas hati kerana persembahannya berjaya menghiburkan semua penonton yang hadir. Malah, dia juga berpuas hati dengan persembahan daripada artis-artis naungan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) iaitu kakak dan adiknya, Saida dan Saerah, serta band Coda.

“Bagi Siti, Saida dan Saerah berjaya memberi persembahan yang baik malam ini. Kalau sebelum ini ramai yang tidak tahu Saerah boleh menyanyi ‘live’, kini dia sudah buktikan sebaliknya. Begitu juga dengan Kak Saida, sebelum ini dia nampak malu-malu tetapi saya sudah tampilkan dia di pentas,” ujar Siti yang mengayakan busana rekaan Hatta Dolmat untuk konsert itu.

Sebanyak 12 buah lagu dipersembahkan oleh Siti secara solo pada konsert malam tadi, antaranya ialah “Ku Mahu”, “Nirmala”, “Di Taman Teman”, “Biarlah Rahsia”, “Pendirianku” dan “Destinasi Cinta”. Selain itu, beliau juga turut menyanyi bersama kakak dan adiknya, Saida dan Saerah untuk lagu “Hey Ladies”, “Buaya Darat” dan “Pudar”.

Rancang konsert ulangtahun ke-15
Dalam perkembangan lain, 1 Januari tahun hadapan, Siti bakal mengadakan konsert bersama M.Nasir di Esplanade, Singapura. Bagaimanapun, konsert yang dianjurkan oleh Beyond DBB itu dikatakan terhad untuk warga Singapura sahaja.

Bukan setakat itu, sempena dengan ulangtahun ke-15 Siti dalam industri, beliau kini sedang merancang sebuah konsert bagi meraikan kejayaan itu. Konsert yang dijangka diadakan pada April tahun hadapan itu ditujukan kepada semua peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan.

"Buat masa ini Siti tidak boleh bercerita lebih lanjut tentang konsert itu. Ini kerana semuanya masih dalam perbincangan. Apabila semua telah selesai dan ditetapkan, Siti akan umumkan dalam satu sidang media yang lain,” akhiri Siti sebelum beralih ke sesi temuramah bersama media penyiaran pula.

[sumber:gua.com]

0 comments: